Isnin, 22 Mac 2010

TAQWA MENAMBAH KECERDASAN

Taqwa adalah asas kecerdasan. Taqwa melahirkan cahaya di dalam hati di mana ilmu sangat memerlukan sinarannya. Kalau kita perhatikan remaja yang terlibat dengan kegiatan dakwah (yang positif) dan banyak melakukan ibadah sunat, akalnya semakin meningkat. Prestasi pelajarannya bertambah baik. Mungkin anda tertanya-tanya, "Apakah kaitannya taqwa dan ibadah dengan kecerdasan ?" Mungkin anda mengenali seseorang yang warak, bertakwa dan banyak ibadahnya. Wajahnya bercahaya, bukan ? Nah, begitulah takwa dan ibadah bukan sahaja setakat mencahayakan wajah sahaja, malah lebih penting lagi ia mencahayakan hati.
Mustahillah jika Allah s.w.t. cuma mencahayakan wajah tanpa mencahayakan hati kerana dari hatilah tempat jatuhnya pandangan Allah manakala wajah pula hanya tempat jatuhnya pandangan makhluk. Cahaya takwa menerangi hati seseorang dan menyebabkan pemiliknya mempunyai hati yang cerah, pintar, kuat hafazan, tinggi daya tangkap, daya telahan dan firasatnya. Nabi s.a.w. bersabda, " Takutilah oleh kamu firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan cahaya Allah s.w.t."
Taqwa adalah rahsia kecerdasan ulama'-ulama' dan tokoh-tokoh cendiakawan Islam terdahulu. Dengan takwa mereka dianugerahkan petunjuk, gerak hati, intuisi, ilham, firasat, fikiran yang tajam, genius, ingatan fotografi dan ilmu ladunni. Berkat dari takwalah, ulama' silam mempunyai kepintaran dan kekuatan hafazan yang luar biasa. Mereka mampu menghafalkan puluhan malah ratusan kitab seperti yang berlaku kepada Qartamahrah yang mampu menghafal kesemua kitab yang terdapat di dalam perpustakaan peribadinya.
Dengan bertaqwa, seseorang itu akan dapat berguru terus dengan Allah dengan dikurniakan ilmu ladunni. Ilmu ladunni ialah ilmu terus daripada Allah s.w.t. yang dimasukkan ke dalam hati seseorang tanpa perantaraan. Allah berfirman di dalam Al-Quran, "Dan bertaqwalah kepada Allah, nescaya kamu diajar oleh Allah (dikurniakan ilmu ladunni)."

MAKSIAT MEMADAMKAN CAHAYA KECERDASAN


Para ulama' telah bersepakat bahawa syarat yang paling penting untuk memiliki hati yang terang dan ingatan yang kuat ialah bertakwa dan menjauhi segala dosa atau maksiat. Meninggalkan perbuatan maksiat membuatkan seseorang mempunyai ingatan dan hafazan yang kuat dan tajam. Ingatan adalah kurniaan daripada Allah s.w.t. yang hanya dianugerahkan kepada orang yang mematuhi dan taat kepada perintah-Nya. Orang yang melakukan maksiat tidak layak menyandang anugerah tersebut.
Imam Syafie pernah mengadu mengenai kelemahannya dalam menghafal kepada gurunya, Syeikh Waqi'. Lalu gurunya melarang beliau melakukan dosa untuk mengelokkan hafalannya dengan ucapan : 
"Sesungguhnya ilmu itu cahaya. Sedangkan cahaya Allah itu tidak dianugerahkan kepada orang-orang yang melakukan dosa."                             

Pada suatu ketika Imam Syafie bersyair :

"Kuadukan kepada Waqi' kelemahan ingatanku. Beliau menyarankan daku agar meninggalkan maksiat. Kekuatan ingatan adalah kurnian Ilahi. Sedangkan kurnia Ilahi tidak diberikan kepada orang yang berbuat maksiat."
Begitu juga nasihat Imam Malik.  Ketika beliau tersangat kagum melihat kecerdasan dan ketinggian minda Imam Malik, "Sesungguhnya saya melihat Allah mengurniakan sinar di dalam hatimu, maka janganlah engkau memadamkannya dengan maksiat."
Maksiat menghalangi ilmu. Ilmu adalah cahaya Allah yang bertempat di hati manakala maksiat memadamkan cahaya itu. Meninggalkan maksiat adalah sebesar-besar sebab tokoh Islam dahulu menjadi terlalu genius dan pintar. Sekiranya anda ingin memiliki IQ yang genius dan ingatan fotografi, maka berusahalah sekuat mungkin untuk menghindari maksiat.
Selain itu, penyebab lupa ialah kesibukan, kebimbangan dan kegilaan terhadap kemewahan dunia. Kegilaan terhadap dunia membawa kepada kegelapan hati. Saidina Uthman bin Affan memnegaskan, " Kebimbangan terhadap dunia menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap akhirat menyinarkan hati."

Ahad, 21 Mac 2010

MAKANAN PENYEBAB LUPA

1) Banyak makan epal yang sudah masam.
2) Banyak makan makanan masam termasuk asam atau jeruk buahan.
3) Banyak makan bawang besar.
4) Banyak makan makanan yang mengandungi rempah dan ketumbar kering.
5) Memakan kepala ikan.
6) Memakan makanan dan minuman yang bercampur dengan semut. Semut dipercayai mengandungi sejenis kimia yang boleh melemahkan ingatan.
7) Makan sehingga terlalu kenyang.
8) Makan makanan yang disentuh oleh tikus.
9) Makan makanan yang dijual di warung-warung yang kotor dan terdedah.
10) Minum minuman yang memabukkan seperti arak dan tuak masam.
11) Banyak makan makanan yang mengandungi bahan kimia termasuk bahan perasa dan bahan awet. Umpamanya minuman bergas dan makanan segera (junk food). Bahan kimia di dalamnya boleh menumpulkan fikiran dan daya ingatan seseorang.

Lapan Perkara Untuk Kuat Ingatan

8 perkara yang membantu menguatkan ingatan ialah:-
1. Bersungguh-sungguh serta memberi perhatian yang sebaiknya terhadap sesuatu
2. Kurangkan makan
3. Selalu bangun sembahyang pada waktu tengah malam dan membaca al-Quran
4. Selalu bersugi
5. Minum madu lebah
6. Makan ketumbar bersama gula pasir
7. Makan 21 biji anggur merah pada setiap hari sebelum makan makanan lain di mana ia juga dapat menyembuh banyak penyakit
8. Mengurangkan ‘balgham’ dan juga makanan basah.